Iftar UKJ Hulu Kelang

Thursday, September 17, 2009, 0 comments

Keramat AU2A - UKJ Hulu Kelang telah menganjurkan majlis berbuka puasa cum pertemuan terakhir sebelum masing-masing pulang ke kampung berhari raya. Majlis diadakan di Dewan Pusat Komuniti AU2 dihadiri lebih 40 orang ahli UKJ serta ahli keluarga masing-masing.

Majlis berlangsung secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan anak-anak. Majlis turut disertai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Gombak, Ustaz Syarhan Humaizi dan juga Ketua Urusan Ulama' PAS Kawasan Gombak, Ustaz Farhan Suhut.

Menurut Ketua UKJ Hulu Kelang, saudara Habibullah, majlis ini dianjurkan sebagai usaha merapatkan ukhuwwah di kalangan ahli UKJ serta untuk mengenali ahli keluarga masing-masing. Dan akhirnya menurut beliau lagi, matlamat untuk mewujudkan sebuah keluarga besar UKJ akan terealisasi sekiranya setiap ahli UKJ mempunyai hubungan ukhuwwah yang baik antara satu sama lain.

Dan akhirnya pihak Jawatankuasa UKJ Hulu Kelang mengucapkan selamat beribadah di akhir Ramadhan dan Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri, minal a'idin wal fa'izin, kullu 'am wa antum bikhair...berhati-hati dalam perjalanan..

Saudara Zaharin, Izzuwan, Habibullah dan Remy

Sedang menjamu sajian abang Salim

Kaum ibu dan anak-anak yg begitu ceria

Unit Amal diperlukan...Ubai dibelasah teruk oleh Insyirah dan Aula

Solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Ustaz Farhan

Sungguh selamba makan di hadapan orang solat

Perbincangan serius antara Ustaz Syarhan, Ustaz Farhan dan Helmizan


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Terus Beramal di Penghujung Ramadhan

Wednesday, September 16, 2009, 0 comments

Hulu Kelang - Pada minggu terakhir Ramadhan, UKJ Hulu Kelang terus aktif dalam gerakerjanya. Keunikan dan keistimewaan Ramadhan selaku syahrul jihad dan semangat Badar Al-Kubro seperti yg selalu ditaujihatkan di dalam pengisian-pengisian selama ini diterjemahkan dalam tindakan dan program. Ramadhan tidak menghalang UKJ Hulu Kelang untuk bersikap mandom, tetapi terus aktif berprogram mengikut kesesuaian di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak yg akan pergi meninggalkan kita tidak berapa lama lagi.

Berikut adalah paparan kegiatan UKJ Hulu Kelang pada hujung minggu terakhir dalam bulan Ramadhan tahun ini.

1. Ekspedisi Dakwah ke Kampung Orang Asli Kemensah bersama Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat

Kemensah - Bersama Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat yg diketuai oleh Ustaz Riduan Md Nor, UKJ Hulu Kelang telah turut serta membantu menyertai Ekspedisi Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Kemensah di Hulu Kelang.

Program ringkas dan santai itu lebih bertujuan untuk membina hubungan dengan penduduk Orang Asli di situ sebagai sasaran dakwah seterusnya. Terdapat lebih kurang 22 buah keluarga yg menetap di sini di lebih kurang 15 buah rumah yg baru saja dibina oleh satu projek sumbangan projek bantuan rumah oleh kerajaan Persekutuan, walaupun masih belum dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih. Sebelum ini mereka menetap di rumah-rumah tradisi perkampungan Orang Asli.

Dalam program ini, beberapa orang UKJ Hulu Kelang yg terlibat turut disertai oleh sukarelawan Lajnah Dakwah telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, mingak dan susu dari rumah ke rumah dan berinteraksi dengan penduduk-penduduk yg diziarahi.

Kehadiran rombongan kami menyampaikan sumbangan ini amat besar maknanya kepada penduduk di sini di musim perayaan Aidilfitri ini. Mereka tahu umat Islam sedang bersiap menyambut Aidilfitri, kerana banyaknya permintaan daripada peniaga-peniaga lemang di sekitar Lembah Kelang terhadap batang-batang buluh daripada mereka (sebatang buluh untuk lemang dijual dengan harga 50sen). Namun dengan hubungan dan interaksi awal ini akan membuka lembaran baru dalam kegiatan dakwah UKJ Hulu Kelang pada masa akan datang.

Taklimat disampaikan sebelum memulakan ziarah

Ziarah dan sumbangan disampaikan dari rumah ke rumah

Sumbangan barangan keperluan oleh wakil Lajnah Dakwah DPPP

Begitu banyak sekali anjing...mengharapkan jua bantuan??

Bergambar bersama di akhir program


2. Konvoi Ramadhan Badan Perhubungan PAS Selangor

Gombak - UKJ Hulu Kelang turut serta dalam satu Konvoi Ramadhan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ke kawasan Gombak bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dan PAS Kawasan Gombak. Konvoi peringkat Gombak bermula dari Taman Templer menuju ke Gombak Setia dan akhirnya menamatkan perjalanan di Hulu Kelang.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato Dr Hasan Ali telah mengetuai rombongan PAS Negeri Selangor ke kawasan Gombak dan beberapa lokasi telah dilawati di samping program-program sumbangan yg telah diatur di sepanjang lokasi yg dilawati.

Konvoi ini sebagai usaha PAS untuk menyemarakkan bulan Ramadhan dan berinteraksi bersama masyarakat serta menyampaikan sumbangan daripada PAS Negeri Selangor kepada golongan-golongan yg memerlukan sempena ketibaan Aidilfitri ini.

Konvoi yg dijalankan telah menyemarakkan semangat pemuda-pemuda di bulan Ramadhan ini di samping mengembangkan syiar Islam ke seluruh masyarakat khususnya di Gombak dan Hulu Kelang ini. Mungkin juga ramai merasakan ia sebagai pemanas badan menjelang PRK Bagan Pinang kelak....Allahu Akbar!!


Sebahagian peserta konvoi di hadapan Masjid Kg Nakhoda

Aksi berani mati 2 orang pemuda Gombak menahan lalulintas

Menyediakan barang sumbangan

Di lokasi terakhir program, Unit Amal Hulu Kelang dan DPPG


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menghidupkan Ramadhan dengan Program Ihya' Ramadhan

Tuesday, September 8, 2009, 0 comments


Sempena 15 Ramadhan dan 17 Ramadhan lepas, para pemuda UKJ Hulu Kelang telah terlibat secara aktif dalam beberapa program Ihya' Ramadhan anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dan PAS Kawasan Gombak. Antara yang dapat dicatit di sini adalah :

1. Tahsinul Quran
UKJ Hulu Kelang telah berjaya menganjurkan satu program Tahsinul Quran iaitu program pemantapan bacaan Al-Quran buat remaja-remaja berusia 10 hingga 17 tahun di Masjid As-Sobirin pada 15 Ramadhan lalu.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu berakhir pada jam 4 petang dan majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Hulu Kelang, YB Haji Saari Sungib.

Seramai lebih 30 orang remaja lelaki dan perempuan telah menyertai program yang dikendalikan oleh Ustaz Firdaus al-Hafiz, Pensyarah Darul Quran, Kuala Kubu Baharu. Dalam program ini, para peserta telah didedahkan dengan hukum-hakam bacaan tajwid dan seterusnya memeriksa bacaan dengan para fasilitator di kalangan pelajar jurusan tahfiz Al-Quran.

Secara keseluruhannya, program ini mempunyai manfaat yang besar kepada para peserta khususnya para remaja supaya bacaan Al-Quran mereka dapat diperbetul dan seterusnya dimantapkan. Siri-siri seterusnya akan dilaksanakan pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai lagi para remaja menyertai program seumpama ini.

Ustaz Firdaus Al-Hafiz sedang menerangkan sesuatu kepada para peserta

Sebahagian para peserta lelaki

Meja urusetia yang 'ditinggalkan sebentar' oleh UKJ Hulu Kelang (pergi ke Karnival Tamadun Islam - program Muslimat Hulu Kelang)


2. Edaran Bubur Lambuk
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang telah terlibat sama dengan Dewan Pemuda PAS Gombak dan PAS Kawasan Gombak dalam satu program memasak dan mengedar bubur lambuk di hadapan Pejabat PAS Kawasan Gombak semalam.

Sempena dengan Cuti Umum Nuzul Quran, program ini telah dimulakan dari pagi dan bubur lambuk sebanyak 2 periuk besar selesai dimasak pada waktu Zohor. Selepas itu kerja-kerja membungkus bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai dan juga PAS cawangan-cawangan dalam kawasan Gombak.

Penglibatan UKJ Hulu Kelang dalam program ini adalah bagi memberi ruang kepada ahli UKJ menghidupkan Ramadhan sempena cuti umum tersebut dengan menyertai program yang dianjurkan serta berinteraksi dengan masyarakat melalui program agihan bubur lambuk terbabit.

Selesai mengedar bubur lambuk, ahli UKJ Hulu Kelang terus bergegas ke Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat untuk mendengar taujihat dan ceramah berkenaan Nuzul Quran dan Badar Al-Kubra yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin Nasir, YDP PAS Kawasan Gombak.

Ahli UKJ Hulu Kelang terlibat membungkus bubur lambuk

Bubur lambuk Sumbangan Ikhlas PAS Kawasan Gombak

Kelihatan Ketua DPPG, Ustaz Syarhan dan Ketua UKJ Hulu Kelang, Sdr Habib mengedar bubur lambuk




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Kejohanan Futsal Piala ADUN Hulu Kelang 2009

Monday, September 7, 2009, 0 comments


Piala Kejohanan ADUN Hulu Kelang 2009

Ketua DPPG, Ustaz Syarhan bersama ADUN Hulu Kelang YB Saari di Majlis Perasmian

Sebahagian para peserta kejohanan

Naib Ketua DPPG, Helmizan bersama Johan kategori Belia dari TDK FC

Sebahagian urusetia kejohanan bergambar bersama YB Saari

Ampang Sport Planet - Bersempena dengan Sambutan Kemerdekaan ke-52 tahun ini UKJ Hulu Kelang bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang telah menganjurkan satu Kejohanan Futsal Piala ADUN Hulu Kelang 2009 secara tertutup.

Kejohanan ini melibatkan zon-zon di dalam DUN Hulu Kelang iaitu sebanyak 18 buah zon dan turut disertai beberapa buah Kelab-kelab Sukan dan Bolasepak di DUN Hulu Kelang dan Parlimen Gombak. Kejohanan ini telah diadakan bagi dua buah kategori, iaitu kategori remaja berumur 18 tahun ke bawah dan kategori belia berumur 18 tahun ke atas.

Dianjurkan secara tertutup melibatkan jemputan kepada zon-zon dan pasukan kelab-kelab tertentu, kejohanan ini mensasarkan penyertaan yang lebih bersifat tempatan, iaitu peserta-peserta yang datang dari DUN Hulu Kelang sendiri. Ini merupakan objektif utama kaedah penganjuran kejohanan ini dilaksanakan kali ini supaya ada penerusan dan kelangsungan program dan aktiviti di masa hadapan.

Justeru kejohanan ini telah berlangsung dalam satu suasana yang cukup harmoni dan atas dasar semangat kesukanan dan perkenalan di kalangan para peserta. Setiap peserta yang menyertai kejohanan ini diberikan sijil penyertaan dan plak cenderahati penyertaan.

Johan kejohanan kali ini bagi kategori Belia dimenangi oleh pasukan TDK FC dari Taman Desa Keramat AU2C. Manakala johan kategori Remaja dimenangi oleh pasukan TSKT FC dari Taman Seri Keramat Tengah AU4.

Secara keseluruhannya penganjuran kejohanan pada tahun ini berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu pelbagai pihak. Usaha-usaha kelangsungan program untuk para pemuda, belia dan remaja di DUN Hulu Kelang khususnya akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang. Bukan sekadar dalam kegiatan sukan, bahkan lebih lagi daripada itu. Kerana Islam Memimpin Perubahan, justeru para pemuda, belia dan remaja ini perlu terus dibimbing supaya akhirnya Islam dapat menguasai segala aspek hidup masyarakat, Insya-Allah.

Lagi foto kejohanan di sini

Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Pemuda yang Khusyu' Penyebab Bala Allah Ditangguh

Wednesday, September 2, 2009, 0 comments

Catatan penyampaian oleh Ustaz Kamaruzzaman Abdullah (Exco DPP Negeri Terengganu) dalam Usrah Gabungan di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, 31 Ogos 2009.

Salah satu golongan yang menjadi sebab Allah menangguhkan balaNya terhadap ummah adalah golongan pemuda yang khusyu'. Kisah-kisah para pemuda yang khusyu' ini banyak dicatatkan dalam sirah Ar-Rasul SAW.

1. Kisah Abu Dujanah di dalam Peperangan Uhud. Ketika peristiwa peperangan ini beliau berumur sekitar 30-an. Diriwayatkan selepas Bukit Uhud yang pada awalnya dikawal oleh pemanah-pemanah Islam jatuh ke tangan tentera kuffar yang diketuai oleh Khalid Al-Walid, berlakulah serangan yang hebat ke atas tentera Islam oleh tentera Khalid Al-Walid.

Dan dalam keadaan diasak hebat, Rasulullah SAW pula telah terperosok ke dalam sebuah lubang di bawah Bukit Uhud. Manakala tentera kuffar menghalakan panahan mereka ke arah Nabi SAW ke arah muka baginda SAW. Menyedari keadaan ini, Abu Dujanah terus menjadi pelindung kepada Nabi SAW daripada serangan tersebut. Kali pertama anak panah menuju ke dada Abu Dujanah, beliau terus bertahan. Kali kedua anak panah turut menembusi tubuh beliau, masih bertahan. Dan anak panah ketiga tepat menembusi tekak beliau dan terus beliau tumbang.

Tatkala melihat tumbangnya Abu Dujanah, Rasulullah SAW terus meriba beliau dan menitiskan air mata melihat pengorbanan seorang anak muda. Lantas baginda menjanjikan syurga kepada beliau atas syahidnya Abu Dujanah dalam mempertahankan baginda SAW daripada serangan tentera kuffar.

2. Kisah Sawwad Al-Ghasiyah di dalam Peperangan Badar Al-Kubra. Semasa baginda SAW memeriksa perbarisan tentera muslimin, perut Sawwad yang sedikit terkehadapan telah dibetulkan oleh Nabi SAW dengan batang sugi.

Diriwayatkan Sawwad berasa tersinggung dan malu apabila diperlakukan sedemikian oleh Rasulullah SAW di hadapan sekalian para sahabat. Terus beliau menyeru kepada Nabi SAW untuk membalas tindakan Nabi SAW yang telah memalukannya. Nabi SAW pun atas dasar ingin menjaga moral dan semangat para sahabat tentera muslimin supaya tidak berlaku sebarang pertikaian merelakan Sawwad untuk melakukan apa sahaja kepada baginda SAW pada hari tersebut.

Lantas Sawwad meminta Nabi SAW untuk menyelak jubah baginda. Sebaik diselak, terserlah dada Nabi SAW yang putih melepak dan Sawwad terus meluru dan memeluk serta mengucup dada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW terus bertanya, "Apakah yang kamu lakukan ini Sawwad?". Sawwad menjawab beliau ingin memeluk dan mengucup Rasulullah SAW buat kali terakhir sebelum bertemu syahid di medan Badar.

Dan terbukti di dalam Peperangan Badar Al-Kubra itu, Sawwad telah bertemu syahid dan kucupan dan pelukannya terhadap Nabi SAW itu adalah yang terakhir.


Manakala pesan Dr Abdullah Nasih Ulwan (yang amat terkenal dengan kitab Tarbiyyatul Awlad) yang melahirkan kerisauannya terhadap anak-anak muda masa kini. Kerisauannya adalah terhadap keyakinan anak muda terhadap perjuangan Islam.

Justeru beliau menyeru anak-anak muda untuk :

1. Mesti mempunyai keyakinan yang tulus
2. Mesti memilih teman-teman perjuangan yang baik
3. Mesti berjiwa besar


Rasulullah SAW berpesan, "pada zaman ini, orang yang memegang agama ibarat menggenggam bara api". Oleh itu pada peribadi Nabi SAW itu haruslah dicontohi sepenuhnya.

1. Uswah : mempunyai keperibadian yang baik. Jadilah air mutlak yang suci dan menyucikan dan bukan air mustakmal yang suci tetapi tidak boleh menyucikan

2. Qudwah : mempunyai daya kepimpinan yang baik


Kerana uslub musuh-musuh Islam yang sentiasa memerangi Islam dengan cara mengeringkan punca ruh keimanan orang muda. Justeru perjuangan ini adalah suatu amanah dan bukannya sum'ah atau mencari populariti.

Wallahu ta'ala a'lam....alert untuk semua pemuda!!


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com