Sorotan 2008 (4) - Smart Solat

Tuesday, January 6, 2009, 0 comments

Hulu Kelang - UKJ Hulu Kelang sepanjang tahun 2008 telah berjaya melaksanakan 4 siri program Smart Solat di masjid-masjid dalam DUN Hulu Kelang. Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang ini berjaya mendapat penyertaan keseluruhan sekurang-kurangnya seramai 500 orang peserta dari kalangan anak-anak sekolah berumur 5 hingga 13 tahun dari kawasan Hulu Kelang dan sekitarnya.

Sambutan yang diberikan oleh masyarakat terhadap program yang dianjurkan ini adalah amat menggalakkan melihatkan yuran penyertaan yang dikenakan adalah hanya RM5. Sehingga banyak permohonan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke program ini terpaksa ditolak oleh pihak penganjur berikutan tempat yang terhad. Program telah dirasmikan oleh ADUN Hulu Kelang, YB Tuan Haji Saari Sungib.

Siri-siri program Smart Solat ini telah dijalankan di Masjid Ar-Ridhuan (Hulu Kelang), Masjid Kampung Klang Gate (Kg Klang Gate), Masjid As-Sobirin (Lembah Keramat) dan juga Surau Al-Mardhiah (Taman Melawati). Program ini telah dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar, Ustaz Ramli dan Ustaz Farhan. Manakala abang-abang dan kakak-kakak fasilitator adalah merupakan penuntut dari sebuah Institut Tahfiz di Selangor.

Program in iterbahagi kepada beberapa bab seperti wudhu, solat, gerak kerja berkumpulan yang dibantu oleh fasilitator dan praktikal solat bersama jemaah masjid yang menunaikan solat fardhu Zohor dan fardhu Asar di masjid-masjid berkenaan.

Rata-rata peserta mempelajari banyak ilmu baru yang tidak mereka perolehi di pengajian sekolah kebangsaan. Ibu bapa yang ditemui juga melahirkan rasa puas dan berbesar hati sekiranya program seumpama ini dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang supaya anak-anak mereka berpeluang untuk mengikuti program sebegini.


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Sorotan 2008 (3) - Kembara Amal 2008

, 0 comments

18 Oktober 2008 - UKJ Hulu Kelang melalui Unit Amal telah menganjurkan program Kembara Amal 2008 bertempat di Kem Isi Rimba, Kg Kemensah, Hulu Kelang, Selangor Darul Ehsan. Program sehari dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang ini berjaya menarik penyertaan seramai 60 orang peserta dari kalangan belia dan remaja di kawasan sekitar Hulu Kelang.

Program yang dianjurkan ini merupakan program pra Perkhemahan Amal 2008 yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak. Juga menjadi objektif penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan Unit Amal kepada masyarakat umum khususnya kepada anak-anak muda golongan belia dan remaja.

Pengisian program Kembara Amal 2008 ini bukanlah merupakan suatu kembara berbentuk 'jungle trekking', mahupun sebarang pendakian bukit dan meredah hutan. Tetapi Kembara Amal 2008 menawarkan kepada peserta aktiviti bermain Paintball di kem tersebut.

Permainan Paintball bukan sahaja menjadi trend remaja dan belia masa kini di kawasan bandar, bahkan ia merupakan salah satu kegiatan yang bermanfaat kepada remaja dan belia. Permainan ini menguji keberanian para peserta untuk berhadapan dengan pihak lawan, juga untuk merangka strategi terbaik dan untuk mendengar arahan, sama ada arahan marshal perlawanan ataupun arahan daripada rakan sepasukan.


Dalam program ini, para peserta yang terlibat telah dibahagikan kepada pasukan dan setiap pasukan berpeluang bermain sekurang-kurangnya 2 perlawanan sebelum pasukan terbaik mara ke pusingan berikutnya sehinggalah perlawanan akhir. Rata-rata para peserta menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan berpuas hati dengan program yang dianjurkan. Dan menjadi harapan para peserta agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Lihat gambar di sini

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Sorotan 2008 (2) - Futsal Merdeka 2008

Sunday, January 4, 2009, 0 comments

24 Ogos 2008 - Bertempat di Sports Planet Ampang, satu Kejohana Futsal Merdeka Piala ADUN Hulu Kelang telah berjaya dianjurkan. Kejohanan julung-julung kali ini dianjurkan oleh UKJ Hulu Kelang dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang.

Sebanyak hampir 60 buah pasukan telah menyertai kejohanan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 6 petang. Kejohanan ini menawarkan hadiah buat Johan sebanyak RM1,000 serta medal. Naib Johan sebanyak RM750 serta medal dan Tempat Ketiga sebanyak RM500 serta medal dengan yuran penyertaan yang rendah, RM80. Kejohanan ini telah diadili oleh sekumpulan pengadil profesional dan berpengalaman dalam mengendalikan kejohanan futsal.

Penganjuran kejohanan futsal sempena Sambutan Kemerdekaan ke-51 pada tahun 2008 ini bertujuan untuk menarik golongan belia dan remaja menyertai program futsal yang menjadi 'trend' dan kegilaan anak muda di kawasan bandar. Juga menjadi matlamat penganjuran kejohanan ini untuk pihak penganjur mendekati golongan ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Kejohanan ini telah dirasmikan pembukaannya oleh ADUN Hulu Kelang, YB Tuan Haji Saari Sungib. Seterusnya peserta kejohanan telah memulakan saingan masing-masing di peringkat kumpulan dan juara kumpulan layak ke peringkat seterusnya. Pada perlawanan akhir, pasukan PIC FC muncul sebagai juara selepas menewaskan pasukan A7 United dengan jaringan 3-2.


Secara keseluruhannya, penganjuran kejohanan ini telah dilangsungkan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Dan juga dengan penganjuran kejohanan ini diharap mampu untuk menghindarkan sedikit sebanyak golongan belia dan remaja dari gejala sosial dan menarik golongan ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan menyihatkan tubuh badan.

Lihat gambar di sini

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Sorotan 2008 (1) - Ekspedisi Bukit Tabuh 2008

, 0 comments

30 November 2008 - Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang dan Ulu Klang Youth Club (UKYC) telah menganjurkan satu ekspedisi mendaki Bukit Tabuh yang terletak di Hulu Kelang, Gombak, Selangor Darul Ehsan.

Ekspedisi sehari itu telah disertai oleh seramai 30 orang remaja dan belia sekitar Hulu Kelang, 10 orang urusetia serta 3 orang pegawai dari Pejabat Renjer Hutan Gombak, Selangor.

Program ini direncana bagi memberi peluang kepada golongan belia dan remaja untuk terlibat di dalam aktiviti sukan lasak dan rekreasi. Juga menjadi objektif penganjuran program ini untuk menarik golongan belia dan remaja mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cergas serta untuk mencintai dan menghargai alam sekitar serta mendekati kebesaran ciptaan Allah.

Pendakian dimulakan dengan ucapan perasmian oleh ADUN Hulu Kelang, Tuan Haji Saari Sungib dan seterusnya taklimat keselamatan oleh En. Husni dari Pejabat Renjer Gombak. Seterusnya pendakian bermula dengan para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan ditemani oleh seorang urusetia. Pendakian memakan masa selama hampir sejam setengah sebelum kesemua para peserta tiba di puncak. Sekurang-kurangnya terdapat tiga buah puncak bukit yang berjaya ditawan oleh para peserta ekspedisi kali ini.


Bukit Tabuh ini merupakan sebuah khazanah dunia di mana ia menempatkan Permatang Kuarza yang terpanjang di dunia. Keindahan semulajadi bukit ini sememangnya menarik perhatian pencinta alam semulajadi untuk melawat dan mendaki ke puncak bukit ini. Dari atas puncak Bukti Tabuh ini, para peserta berpeluang melihat keseluruhan kawasan Empangan Klang Gate yang menjadi sumber bekalan air buat warga Lembah Kelang.

Penganjuran program ekspedisi seumpama ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada golongan belia dan remaja untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang bermanfaat sebegini.

Lihat gambar di sini

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com