Meraikan Ahli-ahli UKJ Hulu Kelang

Thursday, December 24, 2009, 0 comments

FLAT UTM AU3 - Beberapa orang ahli UKJ Hulu Kelang diraikan selepas selesai sesi usrah mingguan yang diadakan di Markaz PAS Flat UTM AU3 minggu ini. Ahli-ahli UKJ yang diraikan adalah seperti berikut:-

1) Hawari bin Hanafi (melangsungkan perkahwinan pada tarikh Hari Penamaan Calon PRK Bagan Pinang)

2) Muhammad Hanafi Masri (melangsungkan perkahwinan pada 22 November 2009)

3) Mohd Aafiffuddin Azhar (mendapat cahaya mata ke-4 pada 15 Disember 2009)

4) Mohd Helmizan Abd Karim (mendapat cahaya mata ke-2 pada Jun 2009)

5) Mohd Remy Azrai (mendapat cahaya mata pertama awal tahun 2009)

6) Ahmad Firdaus A Hamid (mendapat cahaya mata pertama pada 25 September 2009)

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua UKJ, Saudara Habibullah dan Timbalan Ketua UKJ, Saudara Nadzim. UKJ Hulu Kelang mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat ini dan mendoakan kesejahteraan, keberkatan dan seterusnya terus istiqamah dengan jamaah.

Usrah kali ini juga istimewa kerana dihadiri oleh Ustaz Imran Al-Malizi (kolumnis Harakah) yang baru pulang dari pengajiannya di Yaman. UKJ Hulu Kelang berharap dengan kepulangan Ustaz Imran akan menyerikan lagi usrah mingguan ini dan seterusnya dapat memimpin usrah UKJ Hulu Kelang seterusnya. Insya-Allah.

(gambar) Saudara Hawari menerima sumbangan, usrah terakhir sebelum berpindah ke Shah Alam

(gambar) Saudara Hanafi masih dalam tempoh berbulan madu

(gambar) Saudara Aafiffuddin bersyukur dengan kehadiran cahaya mata ke-4

(gambar) Saudara Helmizan 'terkejut' apabila turut diraikan

(gambar) Saudara Remy juga bakal menyambut kehadiran anak ke-2 tahun depan




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Status Juara Futsal dipertahan dan Bloody Friday

Monday, December 21, 2009, 0 comments

AMPANG - UKJ Hulu Kelang terus mengekalkan status selaku Johan Futsal Dewan Pemuda PAS Gombak dalam Kejohanan Futsal DPPG Awal Muharram 1431H yang diadakan di Ampang Sports Planet sempena cuti umum 1 Muharram 1431H lalu.

(gambar) Pasukan UKJ Hulu Kelang sedia beraksi

Kejohanan ini merupakan lanjutan daripada Kejohanan Futsal Ukhuwwah Inter-UKJ DUN bulan Oktober lalu. Kali ini, semua pasukan DUN-DUN Batu Caves, Gombak Setia dan Dewan Pemuda PAS Gombak sendiri telah diperkuat dengan skuad masing-masing bagi merebut kejuaraan yang diraih oleh UKJ Hulu Kelang sebelum ini.

(gambar) Kecederaan serius yang dialami saudara Izzuwan

Sungguhpun begitu, UKJ Hulu Kelang telah sekali lagi menampilkan penguasaan di dalam sukan futsal ini apabila sekali lagi mengungguli pertandingan ini walaupun mendapat tentangan sengit daripada pasukan-pasukan lain khususnya daripada pasukan DPPG sendiri.

Walaubagaimanapun dalam perlawanan akhir antara UKJ Hulu Kelang dengan UKJ Gombak Setia, satu insiden yang tidak diingini berlaku. Ayam tambatan UKJ Hulu Kelang, saudara Izzuwan telah ditimpa kecederaan serius apabila cermin mata yang dipakainya pecah berderai selepas terkena bola lantunan daripada saudara Muhaimin. Kecederaan ini berlaku di atas kelopak matanya dan kening mata beliau.

(gambar) Sedang dirawat

Mujur di gelanggang utama sedang berlangsung Kejohanan Futsal Jelajah Selangor PeBT dan anggota paramedik yang bertugas telah membantu menghentikan pendarahan yang beliau alami. Dimaklumkan beliau telah menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan dengan lebih 20 jahitan telah dilakukan ke atas kecederaan tersebut.

(gambar) Keputusan penuh pertandingan - 1 Muharram 1431H

Menurut saudara Hanafi yang membantu menguruskan rawatan saudara Izzuwan, keadaan beliau stabil dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital. Diucapkan semoga cepat sembuh kepada saudara Izzuwan dan boleh kembali beraksi memperkuatkan skuad UKJ Hulu Kelang walaupun beliau sudah mengumumkan untuk menggantung butnya selepas kejadian ini.

Akhirnya tahniah diucapkan kepada semua pasukan di atas semangat kesukanan yang ditunjukkan dan tahniah kepada pasukan yang telah menang. Allahu Akbar!!

(gambar) Bloody Friday....




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Siri Pengetahuan Am: Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Saturday, December 19, 2009, 0 comments

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN II - KEBEBASAN ASASI

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)--

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan--

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

________________________________________________
CATATAN:

Per. 10:

Lihat Per. 149(1).

Fasal (1): Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)" menggantikan "Tertakluk kepada Fasal (2) dan (3)" menurut Akta A30, seksyen 2, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

Fasal 2:

1. Perkataan "atau mana-mana bahagiannya" yang terdapat dalam perenggan (a), (b) dan (c) selepas perkataan "Persekutuan" dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 60(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 4(2)(b).

Fasal (3) ditambahkan oleh Akta 26/1965, subseksyen 60(4), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang juga meminda Fasal (1) dengan menggantikan perkataan "Fasal (2)" yang terdapat di baris satu Fasal itu dengan "Fasal (2) dan (3)".

Fasal (4) ditambahkan oleh Akta A30, seksyen (2), berkuat kuasa dari 10-3-1971.


Jabatan R&D
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Selamat Tahun Baru Hijriyyah 1431

, 0 comments

UKJ Hulu Kelang mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijriyyah 1431, 1 Muharram 1431H.

Semoga tahun mendatang ini lebih baik daripada yang sebelumnya dan sinar Islam pasti terus memancar...



Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menjejaki Pemuda Cawangan : Siri 3

Thursday, December 17, 2009, 0 comments

SRI KERAMAT AU 2A - Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) dan Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang meneruskan lagi siri pertemuan dan ramah mesra bersama pemuda-pemuda cawangan di Dewan Pusat Khidmat Komuniti AU2 malam tadi.

(gambar) "Ini je had ketinggian kalau nak jadi Ketua Pemuda Hulu Klang", mungkin itu ujar saudara Habib

(gambar) Sebahagian pemuda cawangan yang hadir

Siri ketiga pertemuan ini melibatkan pemuda-pemuda cawangan Flat UTM, AU3, Sepakat, AU1, AU1A, AU2 dan Bukit Baru. Pertemuan kali ini agak istimewa kerana kebanyakan pemuda cawangan yang hadir adalah pemuda-pemuda yang baru dan jarang ditemui di kebanyakan program Pemuda Gombak mahupun program Pemuda Hulu Kelang sebelum ini.

(gambar) Saudara Azizul, Timb Ketua DPPG menyampaikan ucapan

Manakala pimpinan DPPG pula dihadiri oleh Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha dan Bendahari serta beberapa orang AJK lain. Setiausaha dan Timbalan Ketua Pemuda dalam ucapan masing-masing menyatakan kepentingan kekuatan pemuda cawangan digembeling sepenuhnya di samping menyeru pemuda cawangan untuk menghadiri program-program di peringkat kawasan dan DUN.

(gambar) Hadirin teruja melihat aktiviti 'perang' UKJ Hulu Kelang

Dalam sesi taaruf pula, semua AJK DPPG dan UKJ Hulu Kelang dan pemuda cawangan yang hadir dikejutkan dengan perkongsian kisah seorang pemuda cawangan yang mula terlibat dalam politik tanahair ini semasa zaman Reformasi 1998. Oleh kerana terlalu aktif pada ketika itu yang umurnya masih di bangku sekolah, beliau hampir dikenakan tindakan buang sekolah. Namun setelah berunding dengan pihak sekolah, beliau telah dikenakan hukuman minima sebat sebanyak 3 kali setiap hari selama seminggu.

(gambar) Ustaz Syarhan, Ketua DPPG menyampaikan ucapan penutup

Dan pesan akhir daripada seorang veteran pemuda AU2 setelah melihat tayangan multimedia yang disediakan urusetia, katanya "berjuang memang susah dan pahit, tapi itulah yang perlu untuk mendapatkan syurga yang manis"

(gambar) Pengalaman pemuda ini disebat selama seminggu di sekolah atas kesalahan menyokong pembangkang


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Kempen Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda PAS Gombak dan Ceramah Royalti Minyak Kelantan

Wednesday, December 16, 2009, 1 comments

(gambar) Kaunter dibuka di Pasar Malam Taman Melawati

HULU KELANG - UKJ Hulu Kelang serta Dewan Pemuda PAS Gombak telah membuka Kaunter Semakan dan Pendaftaran Pemilih dan Keahlian Pemuda PAS di Pasar Malam Taman Melawati baru-baru ini.

(gambar) Kaunter dilengkapi dengan semakan secara online

Kaunter tersebut yang pertama kali dibuka sejak pelancaran Kempen Keahlian Pemuda PAS Gombak sedikit sebanyak telah berjaya menarik minat ramai pengunjung sama ada untuk mengenali dan mendaftar sebagai ahli PAS dan juga untuk menyemak dan mendaftar sebagai pemilih pilihanraya.

(gambar) Cenderamata kepada pendaftar baru dan pengunjung

(gambar) Walaupun diterangi lampu yg kecil, kaunter masih dikunjungi orang ramai

(gambar) Pidato Rakyat di Dewan MPAJ AU5

Pada hari berikutnya, dalam Ceramah Pidato Rakyat bertajuk "Antara Royalti dan Ehsan: Siapa Pengkhianat Bangsa" yang diadakan di Dewan MPAJ AU5, UKJ Hulu Kelang telah dipanggil bertugas menjaga keselamatan dan persiapan tempat dan sekaligus meneruskan siri Kempen Keahlian Pemuda PAS dan Semakan dan Pendaftaran Pemilih.

(gambar) Dewan penuh sesak dengan orang ramai

Pidato tersebut membariskan penceramah; YB Dato Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak, YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang.

Kehadiran orang ramai amat menggalakkan sehingga dewan penuh sesak untuk mengikuti penjelasan terkini isu-isu semasa khususnya berkaitan isu Royalti Petroleum Kelantan. Turut disentuh adalah berkaitan isu-isu semasa di Selangor.

(gambar) Kaunter UKJ Hulu Kelang semasa program ceramah

Sementara kaunter Kempen Keahlian Pemuda PAS terus dikunjungi oleh orang ramai untuk mendaftar keahlian dan semakan daftar pemilih, Lajnah Dana dan Ekonomi UKJ Hulu Kelang pula mengambil kesempatan menambah dana dengan penjualan sardin Pertima yang dijual seperti pisang goreng panas, terutamanya apabila Ketua UKJ sendiri, saudara Habibullah yang melakukan jualan.

(gambar) Jualan Lajnah Dana dan Ekonomi laris...


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Anak-anak Hulu Kelang Selamat Dikhatankan

Monday, December 14, 2009, 1 comments

(gambar) Saudara Hanafi selaku Pengarah Program mengalukan kehadiran semua

TAMAN SRI KERAMAT - Seperti yang dirancang, Program Berkhatan Beramai-ramai DUN Hulu Kelang telah dilaksanakan dengan jayanya pada 13 Disember 2009 lalu bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang. Seawal jam 7.30 pagi lagi para ibu bapa dan anak-anak yang telah mendaftarkan diri telah tiba.

(gambar) Kelihatan YB Saari, ADUN Hulu Kelang sedang 'meningkatkan keyakinan' peserta untuk berkhatan

(gambar) Wajah 'ceria' ketika Majlis Perasmian

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang diikuti oleh taklimat oleh pasukan doktor perubatan yang akan menjalankan program khatan ini. Seterusnya para peserta khatan diraikan dengan sesi bergambar bersama ADUN dan turut diserikan dengan siraman air oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat. Peserta yang pada awalnya kelihatan enggan basah disiram air, akhirnya menjadi pesta bermain air seolah-olah tidak mandi pagi lagi.

(gambar) Para peserta bergambar kenangan bersama ADUN Hulu Kelang

(gambar) Pesta mandi air semburan Pasukan Bomba...macam tak mandi pagi!!

(gambar) Peserta pertama mendengar taklimat doktor dengan 'gerun'

Seramai hampir 30 orang peserta yang telah mendaftarkan diri untuk berkhatan dan di akhir program semua peserta yang mendaftar ini berjaya dikhatankan. Keadaan dan perjalanan dewan tempat program dijalankan terkawal dan berjalan lancar.

Pasukan doktor seramai 4 orang doktor dengan bantuan pembantu-pembantu perubatan yang terdiri daripada pelajar-pelajar kolej perubatan tempatan telah melaksanakan program ini dengan begitu berjaya sekali.

(gambar) Petugas Amal stand-by jika berlaku 'kecemasan'

(gambar) Proses berkhatan sedang dilakukan sambil diperhati dengan senyum oleh AJK

Menurut Pengarah Program, Saudara Hanafi Masri, program berkhatan yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah di sekitar DUN Hulu Kelang ini berjaya mencapai sasaran pelaksanaannya yang telah ditetapkan. Program pada tahun ini berjaya dilaksanakan tanpa banyak kerenah dan berjaya diselesaikan menjelang waktu Zuhur. Pengalaman menganjurkan program ini buat kali kedua telah banyak mengajar dan mematangkan beliau dan barisan jawatankuasa pelaksana yang terlibat.

Di akhirnya beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan kelancaran perjalanan program tersebut. Tahniah juga diucapkan kepada semua adik-adik yang kini telah melangkah ke 'alam dewasa'!!


(gambar) Tenat....apa dah jadi ni??

(gambar) Peralatan yang digunakan untuk 'mendewasakan' peserta khatan


Lagi foto gempak di sini

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Tayangan Animasi dan Motivasi Kanak-Kanak

Sunday, December 13, 2009, 0 comments


HULU KELANG - Satu siri program Tayangan Animasi dan Motivasi Kanak-Kanak telah diadakan sempena cuti persekolahan akhir tahun. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Kelang ini telah berjalan lebih seminggu di lokasi-lokasi terpilih sekitar DUN Hulu Kelang.

Sambutan kanak-kanak terhadap program ini amat menggalakkan. Kelihatan mereka tekun menonton filem animasi 'Up' dan seterusnya diselitkan dengan motivasi dan pengajaran-pengajaran yang boleh dikutip daripada filem tersebut. Purata kehadiran adalah sekitar 30 hingga 50 orang kanak-kanak tempatan.

(gambar) Saudara Syafiq sedang menyampaikan motivasi

Ahli-ahli UKJ Hulu Kelang telah memainkan peranan besar di dalam penganjuran program ini bagi menyokong aktiviti-aktiviti Pusat Khidmat ADUN khususnya sepanjang cuti persekolahan ini. Ketua UKJ Hulu Kelang, saudara Habibullah yang turut menerajui Pusat Khidmat Zon Kg Pasir telah menjalankan program tayangan ini di zon beliau.

Masih terdapat beberapa siri tayangan ini lagi yang akan dilaksanakan selepas ini bagi melengkapkan jadual tayangan yang meliputi seluruh zon-zon di dalam DUN Hulu Kelang.

(gambar) Saudara Habib mengawasi tingkahlaku kanak2 di situ



Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Remaja Gombak berlibur di Rehlah Amal 2009

Monday, December 7, 2009, 0 comments

KLANG GATES - Seramai 40 orang remaja dari Hulu Kelang dan Gombak telah dikumpulkan dalam satu program Rehlah Amal 2009 di Kawasan Rekreasi Empangan Klang Gates pada 5 Disember 2009 lepas. Program anjuran Pusat Khidmat Komuniti Muda dan Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Gombak ini telah memilih UKJ Hulu Kelang sebagai tuan rumah.

(gambar) Mendengar taklimat permulaan

(gambar) Ucapan perasmian oleh Ketua DPPG, Ustaz Syarhan

(gambar) Acara memanaskan badan ala-ala kungfu Gombak

Bertemakan "bersama mencambah minda, mengukuh jatidiri dan memantap ukhuwwah", program setengah hari ini dianjurkan bagi mengajak remaja ini terlibat dalam program yang sihat sempena cuti persekolahan hujung tahun ini. Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim sebelum diserahkan kepada Abang Naseem selaku Ketua Fasilitator untuk mengendalikan acara ice-breaking dan game.

(gambar) Aksi 'cicakman' dalam game pertama

(gambar) Seorang peserta sedang menduga 'kebijaksanaan' Ustaz Syarhan

(gambar) Begitu ligat sekali dalam game 'Botol Beracun'

Walaupun pada permulaan program kelihatan para peserta masih agak diam dan kurang berkomunikasi, namun sebaik game dimulakan, kelihatan masing-masing sudah mula mengenali dan tidak kelihatan janggal antara satu sama lain serta antara abang-abang fasi dan urusetia yang hensem dan macho belaka. Dan acara game terakhir telah diserikan dengan game perlawanan antara seluruh peserta dengan abang-abang urusetia yang keputusannya dimenangi oleh abang-abang urusetia.

(gambar) Abang Naseem sedang menyampaikan khulasoh permainan

Selesai permainan, Ketua Fasilitator membuat sedikit khulasoh atau ringkasan kepada permainan yang telah dijalankan, sedikit sebanyak menerangkan kepada para peserta objektif permainan tersebut dan perkaitaannya dalam kehidupan sehari-harian sebagai seorang muslim. Dan akhirnya acara yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta dan urusetia, iaitu acara mandi sungai.

(gambar) Begitu teruja dapat mandi sungai

(gambar) Para bapa 'mithali' menemankan anak masing-masing

Dengan cuaca yang baik dan keadaan sungai yang juga baik dan selamat, para peserta diberi masa sehingga sejam untuk bermandi-manda. Jelas kelihatan kegembiraan terpancar di wajah para remaja ini dapat berlibur dan bersantai selepas sepanjang tahun menghadap sesi persekolahan yang panjang.

(gambar) Ceria mendapat hadiah walaupun kalah

Menurut pengarah program, saudara Muthanna, objektif program ini adalah untuk merapatkan hubungan sedia ada antara naqib dengan para ahli Usrah Amal masing-masing. Selain itu objektif program ini juga adalah bagi membina semula hubungan antara ahli UKJ Hulu Kelang dan Pemuda Gombak dengan bekas peserta-peserta Jambori Amal 2008, Kembara Amal 2008, Ekspedisi Bukit Tabuh 2008 serta kepada pelajar-pelajar kelas mengaji di seluruh DUN Hulu Kelang dan menurut beliau, objektif-objektif yang digariskan ini mencapai sasaran melalui progam setengah hari ini.

(gambar) Solat tiang agama

(gambar) Sesi bergambar dengan semua peserta, urusetia dan fasilitator

Ucapan penutup program ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua DPPG, saudara Azizul Abu Bakar dan seterusnya majlis penyampaian hadiah kepada semua peserta telah disempurnakan. Sebelum bersurai, semua peserta telah menunaikan solat fardhu Zohor di atas tanah tanpa sebarang alas, sekurang-kurangnya mereka sedara betapa pentingnya solat dilakukan walaupun tanpa alas, sejadah, mahupun dengan berbaju basah. Semoga program ini ada manfaatnya untuk semua dan bertemu lagi dalam siri-siri program dengan tema Amal di masa akan datang!!


(gambar) Sedang membahagi 'ghanimah'

Lagi foto lihat di sini



Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com