Menjayakan Konsert Amal OPICK

Tuesday, November 24, 2009, 0 comments

BANGSAR - Satu Konsert Amal bersama Opick telah dianjurkan oleh Muslimcare Malaysia dan Solat Center Malaysia pada 22 November 2009 lalu di Kompleks TNB Bangsar. Antara penggerak utama di balik tabir penganjuran konsert ini adalah pihak MTD Hulu Kelang sendiri.

Dan UKJ Hulu Kelang telah menunjukkan semangat yang baik dengan memberikan kerjasama sepenuhnya berganding bahu dengan AJK MTD Hulu Kelang dalam menjayakan konsert tersebut. Pengunjung konsert pada malam tersebut telah dihiburkan dengan persembahan yang mantap dan 'luar biasa' daripada artis jemputan dari Indonesia, Opick. Beliau telah menggegarkan dewan konsert tersebut dengan persembahan bertenaga lagu-lagu ketuhanannya yang turut diselitkan dengan zikir kepada Allah.

Selain itu persembahan malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran penasyid tersohor tanah air, Ustaz Akhil Hayy yang berduet bersama Opick dalam lagu Tombok Ati. Juga kehadiran artis nasyid In-Team dan kumpulan baru, Kasturi serta Ustaz Abu Sangkan dari Indonesia turut menghiburkan lebih 1,000 orang pengunjung yang memenuhi dewan kompleks tersebut. Walaupun lebih 10 buah lagu dinyanyikan oleh Opick dan persembahan terakhirnya sudah menghampiri jam 11.30 malam, namun kebanyakan peminat beliau terus melaung meminta agar dinyanyikan lagi lagu-lagu beliau yang sangat popular itu.

Pun begitu perjalanan konsert tersebut berjalan lancar dan seakan menyaingi persembahan artis-artis barat di 'Royal Albert Hall London'. Rata-rata para pengunjung konsert tersebut melahirkan rasa puas kerana dapat bertemu mata dan mendengar secara 'live' nyanyian Opick.

Selesai konsert, ahli UKJ Hulu Kelang telah bertungkus lumus pula mengemas dewan kompleks tersebut sepertimana telah mereka kemas dan siapkan sepanjang hari sebelum bermulanya konsert. Kerjasama erat ini membuktikan keutuhan jentera parti di semua peringkat di DUN Hulu Kelang khususnya antara UKJ dengan pihak MTD Hulu Kelang. ALLAHU AKBAR!!

(gambar) Pentas dan audio sama hebat dengan Royal Albert Hall, London

(gambar) Opick berduet lagu Tombok Ati dengan Ust Akhil Hayy

(gambar) Persembahan penutup bersama kanak-kanak dan semua artis





Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Kunjung Hormat Delegasi Lajnah Tarbiyyah DPPG

, 0 comments

Taman Permata - Sesi usrah mingguan yang berlangsung semalam di markaz MTD Hulu Kelang telah dikejutkan dengan kehadiran rombongan dari Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak. Rombongan ini diketuai oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DPPG, Ustaz Termizi Md Din dan disertai bersama Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi dan Timbalan Ketua DPPG, Saudara Azizul Abu Bakar.

Lawatan ringkas selama kira-kira 30 minit itu antara lain untuk meninjau sendiri perjalanan usrah mingguan di DUN Hulu Kelang. Sebaik kehadiran rombongan ini, pengerusi usrah telah menyerahkan majlis usrah kepada Ustaz Termizi untuk memulakan agenda lawatan khas ini. Beliau menyatakan tujuan lawatan tersebut diadakan dan fokus Lajnah Tarbiyyah DPPG sesi ini di samping menekankan kepentingan usrah terus dijalankan tanpa mengira musim serta membayangkan kemungkinan-kemungkinan program usrah sahaja yang tinggal untuk dilaksanakan di kala program-program lain mungkin sukar untuk dijalankan.

Saudara Azizul pula mengambil kesempatan dalam pertemuan malam tadi untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli UKJ Hulu Kelang yang telah menyumbang bagi pembelian peralatan menghadapi musibah banjir untuk digunakan oleh petugas dan sukarelawan Pemuda Gombak dan PAS Gombak. Selain itu beliau selaku Setiausaha Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Gombak memaklum dan menjemput semua ahli UKJ Hulu Kelang yang tidak pulang ke kampung halaman untuk menyertai dan membantu program Qurban PAS Kawasan Gombak pada 29 November 2009 ini di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Gombak Setia.

Al-Fadhil Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi pula menekankan betapa perlunya para pemuda PAS Gombak khususnya di Hulu Kelang ini dapat secara istiqamah mengikuti program usrah supaya para pemuda yang dilahirkan ini benar-benar masak dan faham dengan fikrah perjuangan. Dalam pada itu beliau turut menekankan peranan Mus'ab bin Umair dalam Operasi 1C5P yang harus dimainkan oleh setiap ahli UKJ Hulu Kelang.

Dan pada akhirnya, Ustaz Termizi membacakan kisah sahabat Nabi, Khabbab yang dibunuh dengan begitu kejam semata-mata mempertahankan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak paksaan pengakuan kerasulan kepada nabi palsu Musailamah Kazzab yang menggambarkan betapa tinggi pengorbanan para sahabat dalam menegakkan Islam.

Mujur kehadiran ahli UKJ Hulu Kelang semasa usrah semalam adalah pada tahap purata kehadiran mingguan, tidak terlalu kurang dan tidak terlalu ramai. Cuma yang mungkin terasa sedikit kehilangan pada malam tadi adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyyah UKJ Hulu Kelang, saudara Hanafi Masri yang baru saja menamatkan zaman 'suci kepemudaan'nya di Kelantan sehari sebelum itu. Tahniah dan Mabruuk diucapkan kepada beliau dan pasangannya!! Semoga mendapat keberkatan Allah dan dapat terus istiqamah dengan jemaah, Insya-Allah.



(gambar) Delegasi Lajnah Tarbiyyah DPPG di MTD Hulu Kelang

(gambar) Sebahagian ahli usrah UKJ Hulu Kelang

(gambar) Kesibukan para bapa 'mithali' melayan kerenah anak2 yg dibawa bersama




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menjejaki Pemuda Cawangan : Siri 2

Wednesday, November 18, 2009, 0 comments

LEMBAH KERAMAT AU5D - Siri pertemuan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) dan Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang bersama pemuda-pemuda cawangan diteruskan lagi dalam satu pertemuan yang diaturkan malam tadi.

Kali ini giliran pemuda cawangan Lembah Keramat, AU5D, Taman Permata dan AU4 untuk bertemu mata dan beramah mesra bersama kepimpinan DPPG. Kehadiran pemuda-pemuda cawangan terlibat dalam pertemuan ini agak memberangsangkan sebagai tanda gerakerja pemuda cawangan yang masih aktif di cawangan-cawangan tersebut.

Manakala pimpinan DPPG pula dihadiri oleh Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha dan Bendahari serta beberapa orang AJK lain. Dalam ucapannya, Ketua DPPG Ustaz Syarhan menekankan peri pentingnya berintima' dengan gerakan Islam iaitu PAS yang kini merupakan suatu kewajipan dan bukan lagi suatu pilihan.

Usaha pertemuan ini direncanakan oleh DPPG atas kesinambungan kempen Dewan Pemuda PAS Pusat, 'Orang Muda Geng Kita'. Bertitik tolak juga daripada pengalaman semasa Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, beliau menginsafi betapa perlunya kekuatan Pemuda digembelingkan semaksima mungkin dan kekuatan ini bermula daripada peringkat cawangan.

Pertemuan ini berakhir dengan sesi soal-jawab dan kesempatan ini diambil oleh seorang pimpinan cawangan, Pak Nik Zid, Timbalan Ketua Cawangan Lembah Keramat untuk menyampaikan pandangan dan berkongsi pengalaman beliau bersama para pemuda serta pimpinan. Kelihatan Ketua DPPG, dan Ketua UKJ Hulu Kelang tekun mencatit pesanan, pandangan serta pengalaman yang disampaikan oleh orang yang berpengalaman ini.

Siri-siri pertemuan ini akan diadakan dalam masa terdekat sehingga seluruh pemuda cawangan di DUN Hulu Kelang berjaya dijejaki dan seterusnya kekuatan dan organisasi pemuda cawangan ini dapat disatukan.

(gambar) Sebahagian pemuda cawangan saiz XXL dalam pertemuan tersebut

(gambar) Ketua UKJ Hulu Kelang, saudara Habib berucap

(gambar) Ucapan oleh Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi

(gambar) Sesi ta'aruf bersama pemuda cawangan

(gambar) Turut hadir Ketua Cawangan AU5D, Haji Abu Bakar Sahat




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menjejaki Pemuda Cawangan : Siri 1

Thursday, November 12, 2009, 0 comments

SG SERING - Satu pertemuan Majlis Ramah Mesra telah berlangsung di sini dengan pimpinan Dewan Pemuda PAS Gombak bersama UKJ Hulu Kelang telah bertemu pemuda-pemuda cawangan. Dalam usaha menjejak serta memperkasa jawatankuasa pemuda cawangan, usaha ini dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Dalam siri pertama ini, cawangan yang terlibat adalah dari Sg Sering, Ukay Perdana, Taman Al-Ridhuan, Kg Pasir dan Kemensah. Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan para pemuda cawangan didedahkan dengan gerakerja serta kepimpinan DPPG serta majlis ramah mesra dan berkenal-kenalan.

Menurut saudara Damanhuri selaku Setiausaha DPPG, niat untuk turun dan bertemu dengan pemuda-pemuda cawangan ini telah lama diusahakan namun tertangguh akibat kesibukan siri-siri pilihanraya kecil sebelum ini. Beliau juga menekankan supaya usaha berterusan dilakukan bagi memberi kemenangan yang lebih besar kepada parti pada masa akan datang.

Manakala saudara Helmizan selaku Naib Ketua DPPG yang mewakili ketuanya dalam majlis ini menekankan peri pentingnya pertemuan tersebut bagi memperkasa keahlian DPPG serta memberi peluang kepada ahli mengenali pimpinan dan pimpinan untuk bertemu dengan ahli.

Walaupun lokasi Kg Sg Sering ini agak asing bagi sebahagian pimpinan DPPG dan juga ahli UKJ Hulu Kelang yg lain, namun inilah usaha pertama yg harus dirintis bagi mewujudkan hubungan di antara pihak UKJ dan DPPG dengan para pemuda cawangan ini.

(gambar) Sebahagian pemuda cawangan dalam majlis tersebut

(gambar) Khusyu' menonton tayangan multimedia

(gambar) Beramah mesra antara ahli dan pimpinan

(gambar) Saudara Habibullah, Ketua UKJ serta saudara Damanhuri, SU DPPG




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Takziah kepada Saudara Salim @ Mohamad Rodzi

, 0 comments

Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang merakamkan ucapan takziah kepada ahli Pemuda PAS Hulu Kelang, saudara Salim @ Mohamad Rodzi bin Abdul Talib di atas pemergian bondanya, Hajah Bechek binti Abdul Satar di Hospital Besar Kuala Lumpur malam tadi. Jenazah telah selamat disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Klang Gate Baharu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Juga kepada keluarga arwah, khususnya Haji Abdul Talib, saudara Salim dan lain-lain sabar menerima ketentuan Ilahi ini dengan hati yang tenang.

Al-Fatihah

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menyertai Jambori Amal Kebangsaan 2009

Tuesday, November 3, 2009, 0 comments

Sg Besar, Selangor - Jambori Amal Peringkat Kebangsaan kali ke-17 telah berlangsung di sini dari 30 Oktober hingga 1 November 2009. UKJ Hulu Kelang telah menghantar peserta seramai 9 orang untuk menyertai kontijen Jabatan Amal Negeri Selangor.

Negeri Selangor telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi program Jambori pada tahun ini. Tambahan pula, Unit Amal kini sudah dinaiktaraf menjadi Jabatan Amal selaras dengan perkembangan semasa organisasi ini. Pelbagai pembaharuan dirancang di bawah Ketua Pengarah Amal Malaysia yang baru dilantik, Sdr Juhari Osman, antaranya ialah perubahan pada logo yang boleh dilihat di sini

Pelbagai acara dilangsung dan dipertandingkan di antara kontijen2 Jabatan Amal negeri-negeri sepanjang 2 hari program berlangsung. Antaranya pertandingan kawad, khemah terbaik, nasyid, pentomin, pidato, masakan survival, tarik tali dan juga acara menyelamat. Di akhir Jambori, juara keseluruhan dimenangi oleh Kontijen Jabatan Amal Negeri Kelantan Darul Naim.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Dalam ucapannya beliau memuji kerja-kerja amal yang selama ini telah dilakukan oleh Unit Amal. Kerja-kerja kemasyarakatan, kebajikan dan juga amanah2 parti yang telah dipikul oleh Unit Amal selama ini harus diterus dan diperkasakan.

Tuan Guru Presiden juga membaca beberapa potong hadis yg menyentuh tentang keutamaan kerja-kerja amal jamai kemasyarakatan berbanding hidup bersendirian dan beribadah kepada Allah semata-mata. Pesan beliau lagi, anggota Amal adalah ibarat akar-akar pohon yang mendokongi pohon buah-buahan. Jadilah pohon buah-buahan yang apabila dibaling kepadanya oleh kanak-kanak dengan batu dan kayu, dibalasnya dengan buah-buahan.

Peristiwa Peperangan Khaibar juga sempat disampaikan oleh Tuan Guru Presiden. Tatkala Rasulullah SAW menyeru nama Saidina Ali KW untuk mengetuai angkatan perang menyerang Yahudi Khaibar, diberitakan Ali sedang kesakitan. Tetapi apabila Saidina Ali mendapat tahu beliau diamanahkan untuk mengetuai angkatan perang tersebut, terus beliau menyahut panji-panji Islam walau di dalam kesakitan untuk mengetuai angkatan perang tersebut. Menyatakan betapa perlu anggota Amal sekalian siap siaga menerima dan melaksanakan arahan pimpinan.

Jambori Amal Kebangsaan ini melabuhkan tirainya dengan setiap anggota Amal bersalaman penuh ukhuwah sesama mereka dan sesama Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal Malaysia. Kita jumpa lagi di Jambori Amal tahun hadapan di negeri Melaka!!!

Mendaftar diri di Khemah Kontijen Selangor

Kontijen Amal Selangor segak di Majlis Penutup (ahli Gombak/Hulu Kelang mendominasi barisan hadapan)

Pasukan tarik tali Selangor...tenang sebelum perlawanan bermula

Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS menyampaikan ucapan penutup

Peserta Gombak bergambar kenangan

Lagi foto lihat di album ini


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com