Kunjung Hormat Delegasi Lajnah Tarbiyyah DPPG

Tuesday, November 24, 2009,

Taman Permata - Sesi usrah mingguan yang berlangsung semalam di markaz MTD Hulu Kelang telah dikejutkan dengan kehadiran rombongan dari Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak. Rombongan ini diketuai oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DPPG, Ustaz Termizi Md Din dan disertai bersama Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi dan Timbalan Ketua DPPG, Saudara Azizul Abu Bakar.

Lawatan ringkas selama kira-kira 30 minit itu antara lain untuk meninjau sendiri perjalanan usrah mingguan di DUN Hulu Kelang. Sebaik kehadiran rombongan ini, pengerusi usrah telah menyerahkan majlis usrah kepada Ustaz Termizi untuk memulakan agenda lawatan khas ini. Beliau menyatakan tujuan lawatan tersebut diadakan dan fokus Lajnah Tarbiyyah DPPG sesi ini di samping menekankan kepentingan usrah terus dijalankan tanpa mengira musim serta membayangkan kemungkinan-kemungkinan program usrah sahaja yang tinggal untuk dilaksanakan di kala program-program lain mungkin sukar untuk dijalankan.

Saudara Azizul pula mengambil kesempatan dalam pertemuan malam tadi untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli UKJ Hulu Kelang yang telah menyumbang bagi pembelian peralatan menghadapi musibah banjir untuk digunakan oleh petugas dan sukarelawan Pemuda Gombak dan PAS Gombak. Selain itu beliau selaku Setiausaha Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Gombak memaklum dan menjemput semua ahli UKJ Hulu Kelang yang tidak pulang ke kampung halaman untuk menyertai dan membantu program Qurban PAS Kawasan Gombak pada 29 November 2009 ini di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Gombak Setia.

Al-Fadhil Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi pula menekankan betapa perlunya para pemuda PAS Gombak khususnya di Hulu Kelang ini dapat secara istiqamah mengikuti program usrah supaya para pemuda yang dilahirkan ini benar-benar masak dan faham dengan fikrah perjuangan. Dalam pada itu beliau turut menekankan peranan Mus'ab bin Umair dalam Operasi 1C5P yang harus dimainkan oleh setiap ahli UKJ Hulu Kelang.

Dan pada akhirnya, Ustaz Termizi membacakan kisah sahabat Nabi, Khabbab yang dibunuh dengan begitu kejam semata-mata mempertahankan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak paksaan pengakuan kerasulan kepada nabi palsu Musailamah Kazzab yang menggambarkan betapa tinggi pengorbanan para sahabat dalam menegakkan Islam.

Mujur kehadiran ahli UKJ Hulu Kelang semasa usrah semalam adalah pada tahap purata kehadiran mingguan, tidak terlalu kurang dan tidak terlalu ramai. Cuma yang mungkin terasa sedikit kehilangan pada malam tadi adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyyah UKJ Hulu Kelang, saudara Hanafi Masri yang baru saja menamatkan zaman 'suci kepemudaan'nya di Kelantan sehari sebelum itu. Tahniah dan Mabruuk diucapkan kepada beliau dan pasangannya!! Semoga mendapat keberkatan Allah dan dapat terus istiqamah dengan jemaah, Insya-Allah.



(gambar) Delegasi Lajnah Tarbiyyah DPPG di MTD Hulu Kelang

(gambar) Sebahagian ahli usrah UKJ Hulu Kelang

(gambar) Kesibukan para bapa 'mithali' melayan kerenah anak2 yg dibawa bersama




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

0 comments:

Post a Comment

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com