Status Juara Futsal dipertahan dan Bloody Friday

Monday, December 21, 2009,

AMPANG - UKJ Hulu Kelang terus mengekalkan status selaku Johan Futsal Dewan Pemuda PAS Gombak dalam Kejohanan Futsal DPPG Awal Muharram 1431H yang diadakan di Ampang Sports Planet sempena cuti umum 1 Muharram 1431H lalu.

(gambar) Pasukan UKJ Hulu Kelang sedia beraksi

Kejohanan ini merupakan lanjutan daripada Kejohanan Futsal Ukhuwwah Inter-UKJ DUN bulan Oktober lalu. Kali ini, semua pasukan DUN-DUN Batu Caves, Gombak Setia dan Dewan Pemuda PAS Gombak sendiri telah diperkuat dengan skuad masing-masing bagi merebut kejuaraan yang diraih oleh UKJ Hulu Kelang sebelum ini.

(gambar) Kecederaan serius yang dialami saudara Izzuwan

Sungguhpun begitu, UKJ Hulu Kelang telah sekali lagi menampilkan penguasaan di dalam sukan futsal ini apabila sekali lagi mengungguli pertandingan ini walaupun mendapat tentangan sengit daripada pasukan-pasukan lain khususnya daripada pasukan DPPG sendiri.

Walaubagaimanapun dalam perlawanan akhir antara UKJ Hulu Kelang dengan UKJ Gombak Setia, satu insiden yang tidak diingini berlaku. Ayam tambatan UKJ Hulu Kelang, saudara Izzuwan telah ditimpa kecederaan serius apabila cermin mata yang dipakainya pecah berderai selepas terkena bola lantunan daripada saudara Muhaimin. Kecederaan ini berlaku di atas kelopak matanya dan kening mata beliau.

(gambar) Sedang dirawat

Mujur di gelanggang utama sedang berlangsung Kejohanan Futsal Jelajah Selangor PeBT dan anggota paramedik yang bertugas telah membantu menghentikan pendarahan yang beliau alami. Dimaklumkan beliau telah menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan dengan lebih 20 jahitan telah dilakukan ke atas kecederaan tersebut.

(gambar) Keputusan penuh pertandingan - 1 Muharram 1431H

Menurut saudara Hanafi yang membantu menguruskan rawatan saudara Izzuwan, keadaan beliau stabil dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital. Diucapkan semoga cepat sembuh kepada saudara Izzuwan dan boleh kembali beraksi memperkuatkan skuad UKJ Hulu Kelang walaupun beliau sudah mengumumkan untuk menggantung butnya selepas kejadian ini.

Akhirnya tahniah diucapkan kepada semua pasukan di atas semangat kesukanan yang ditunjukkan dan tahniah kepada pasukan yang telah menang. Allahu Akbar!!

(gambar) Bloody Friday....




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

0 comments:

Post a Comment

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com