Terus mendokong Kepimpinan Ulamak

Tuesday, May 26, 2009,

Sabtu, Taman Melewar - Sambutan Jubli Perak Sempena 25 Tahun Kepimpinan Ulamak telah diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar. Program seminar selama sehari ini telah dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh pimpinan-pimpinan PAS.

UKJ Hulu Kelang telah turut sama Dewan Pemuda PAS Gombak bertugas untuk seminar sehari tersebut. Bermula dengan persiapan tempat seminar, susun atur kerusi di dalam dewan, menggantung bendera di sepanjang jalan masuk ke Taman Melewar, persiapan bahan dan kertas kerja seminar pada malam sebelum program sehinggalah kepada pendaftaran peserta pada hari program. Kehadiran para peserta dianggarkan mencecah hampir 600 orang dengan segenap ruang Dewan Dato Fadzil Noor di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat itu dipenuhi dengan para peserta.

Kelihatan para peserta tekun mendengar pembentangan kertas kerja

Dalam program Sambutan ini juga, sebuah buku telah dilancarkan. Bertajuk 25 Tahun Kepimpinan Ulamak, buku ini memuatkan tulisan-tulisan daripada tokoh-tokoh ulamak dalam PAS seperti YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Dato' Fadzil Noor, YB Dato Ustaz Harun Taib, Dato Ustaz Mohd Daud Iraqi, Hj Subky Latif, Ustaz Idris Ahmad dan lain-lain lagi.

Buku ini sewajarnya dimiliki oleh setiap amilin dan ahli PAS yang berhasrat mengetahui dengan lebih mendalam sejarah dan asal-usul kepimpinan ulamak dalam PAS, konsep kepimpinan ulamak dalam PAS yang sebenarnya, menjawab segala persoalan dan polemik berkaitan kepimpinan ulamak yang timbul mutakhir ini. Kenyataan Tuan Guru Dato Seri Presiden juga boleh dilihat di sini.

25 Tahun Kepimpinan Ulamak - diterbitkan oleh Nufairstreet

YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat -
"Ulamak dulu tak banyak pelajaran tetapi sekarang ulamak dah pandai. Dia ulamak dialah juga professional. Ulamak dan professional ini kita gabungkan. Lama dah selesai benda ini, sepatut tak timbul dah. Jadi tak ada masalah.
Kelayakan professional sahaja tidak cukup sekiranya ingin menjadi pemimpin tertinggi dalam parti PAS.
PAS sudah lama dipimpin oleh golongan ulamak dan sekarang ini ulamak dan professional digabungkan bagi mengukuhkan kedudukan parti. Hanya golongan ulamak professional yang layak menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam parti itu pada pemilihan yg akan diadakan"

Almarhum Dato Fadzil Mohd Noor -
"Dalam erti kata lain kepimpinan ulamak adalah kombinasi dari pelbagai unsur terbaik seperti yang pernah ditampilkan oleh kepimpinan Rasulullah SAW dan para sahabat radiaLlahuanhum iaitu selain ketaqwaan yang tinggi ia mestilah sensitif dengan masalah-masalah semasa, berpandangan jauh, mampu merancang dan membentuk masa depan ummah, bersikap terbuka dan toleransi dalam batas-batas yang dibenarkan oleh Islam. Bekerja sebagai kumpulan professional, proaktif dan memperlihatkan ketrampilan sebagai pimpinan sejati. Ini ciri-ciri yang amat diperlukan"

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

0 comments:

Post a Comment

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com