Meraikan Ahli-ahli UKJ Hulu Kelang

Thursday, December 24, 2009, 0 comments

FLAT UTM AU3 - Beberapa orang ahli UKJ Hulu Kelang diraikan selepas selesai sesi usrah mingguan yang diadakan di Markaz PAS Flat UTM AU3 minggu ini. Ahli-ahli UKJ yang diraikan adalah seperti berikut:-

1) Hawari bin Hanafi (melangsungkan perkahwinan pada tarikh Hari Penamaan Calon PRK Bagan Pinang)

2) Muhammad Hanafi Masri (melangsungkan perkahwinan pada 22 November 2009)

3) Mohd Aafiffuddin Azhar (mendapat cahaya mata ke-4 pada 15 Disember 2009)

4) Mohd Helmizan Abd Karim (mendapat cahaya mata ke-2 pada Jun 2009)

5) Mohd Remy Azrai (mendapat cahaya mata pertama awal tahun 2009)

6) Ahmad Firdaus A Hamid (mendapat cahaya mata pertama pada 25 September 2009)

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua UKJ, Saudara Habibullah dan Timbalan Ketua UKJ, Saudara Nadzim. UKJ Hulu Kelang mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat ini dan mendoakan kesejahteraan, keberkatan dan seterusnya terus istiqamah dengan jamaah.

Usrah kali ini juga istimewa kerana dihadiri oleh Ustaz Imran Al-Malizi (kolumnis Harakah) yang baru pulang dari pengajiannya di Yaman. UKJ Hulu Kelang berharap dengan kepulangan Ustaz Imran akan menyerikan lagi usrah mingguan ini dan seterusnya dapat memimpin usrah UKJ Hulu Kelang seterusnya. Insya-Allah.

(gambar) Saudara Hawari menerima sumbangan, usrah terakhir sebelum berpindah ke Shah Alam

(gambar) Saudara Hanafi masih dalam tempoh berbulan madu

(gambar) Saudara Aafiffuddin bersyukur dengan kehadiran cahaya mata ke-4

(gambar) Saudara Helmizan 'terkejut' apabila turut diraikan

(gambar) Saudara Remy juga bakal menyambut kehadiran anak ke-2 tahun depan




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Status Juara Futsal dipertahan dan Bloody Friday

Monday, December 21, 2009, 0 comments

AMPANG - UKJ Hulu Kelang terus mengekalkan status selaku Johan Futsal Dewan Pemuda PAS Gombak dalam Kejohanan Futsal DPPG Awal Muharram 1431H yang diadakan di Ampang Sports Planet sempena cuti umum 1 Muharram 1431H lalu.

(gambar) Pasukan UKJ Hulu Kelang sedia beraksi

Kejohanan ini merupakan lanjutan daripada Kejohanan Futsal Ukhuwwah Inter-UKJ DUN bulan Oktober lalu. Kali ini, semua pasukan DUN-DUN Batu Caves, Gombak Setia dan Dewan Pemuda PAS Gombak sendiri telah diperkuat dengan skuad masing-masing bagi merebut kejuaraan yang diraih oleh UKJ Hulu Kelang sebelum ini.

(gambar) Kecederaan serius yang dialami saudara Izzuwan

Sungguhpun begitu, UKJ Hulu Kelang telah sekali lagi menampilkan penguasaan di dalam sukan futsal ini apabila sekali lagi mengungguli pertandingan ini walaupun mendapat tentangan sengit daripada pasukan-pasukan lain khususnya daripada pasukan DPPG sendiri.

Walaubagaimanapun dalam perlawanan akhir antara UKJ Hulu Kelang dengan UKJ Gombak Setia, satu insiden yang tidak diingini berlaku. Ayam tambatan UKJ Hulu Kelang, saudara Izzuwan telah ditimpa kecederaan serius apabila cermin mata yang dipakainya pecah berderai selepas terkena bola lantunan daripada saudara Muhaimin. Kecederaan ini berlaku di atas kelopak matanya dan kening mata beliau.

(gambar) Sedang dirawat

Mujur di gelanggang utama sedang berlangsung Kejohanan Futsal Jelajah Selangor PeBT dan anggota paramedik yang bertugas telah membantu menghentikan pendarahan yang beliau alami. Dimaklumkan beliau telah menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan dengan lebih 20 jahitan telah dilakukan ke atas kecederaan tersebut.

(gambar) Keputusan penuh pertandingan - 1 Muharram 1431H

Menurut saudara Hanafi yang membantu menguruskan rawatan saudara Izzuwan, keadaan beliau stabil dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital. Diucapkan semoga cepat sembuh kepada saudara Izzuwan dan boleh kembali beraksi memperkuatkan skuad UKJ Hulu Kelang walaupun beliau sudah mengumumkan untuk menggantung butnya selepas kejadian ini.

Akhirnya tahniah diucapkan kepada semua pasukan di atas semangat kesukanan yang ditunjukkan dan tahniah kepada pasukan yang telah menang. Allahu Akbar!!

(gambar) Bloody Friday....




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Siri Pengetahuan Am: Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Saturday, December 19, 2009, 0 comments

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN II - KEBEBASAN ASASI

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)--

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan--

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

________________________________________________
CATATAN:

Per. 10:

Lihat Per. 149(1).

Fasal (1): Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)" menggantikan "Tertakluk kepada Fasal (2) dan (3)" menurut Akta A30, seksyen 2, berkuat kuasa dari 10-3-1971.

Fasal 2:

1. Perkataan "atau mana-mana bahagiannya" yang terdapat dalam perenggan (a), (b) dan (c) selepas perkataan "Persekutuan" dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 60(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 4(2)(b).

Fasal (3) ditambahkan oleh Akta 26/1965, subseksyen 60(4), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang juga meminda Fasal (1) dengan menggantikan perkataan "Fasal (2)" yang terdapat di baris satu Fasal itu dengan "Fasal (2) dan (3)".

Fasal (4) ditambahkan oleh Akta A30, seksyen (2), berkuat kuasa dari 10-3-1971.


Jabatan R&D
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Selamat Tahun Baru Hijriyyah 1431

, 0 comments

UKJ Hulu Kelang mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijriyyah 1431, 1 Muharram 1431H.

Semoga tahun mendatang ini lebih baik daripada yang sebelumnya dan sinar Islam pasti terus memancar...



Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Menjejaki Pemuda Cawangan : Siri 3

Thursday, December 17, 2009, 0 comments

SRI KERAMAT AU 2A - Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) dan Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang meneruskan lagi siri pertemuan dan ramah mesra bersama pemuda-pemuda cawangan di Dewan Pusat Khidmat Komuniti AU2 malam tadi.

(gambar) "Ini je had ketinggian kalau nak jadi Ketua Pemuda Hulu Klang", mungkin itu ujar saudara Habib

(gambar) Sebahagian pemuda cawangan yang hadir

Siri ketiga pertemuan ini melibatkan pemuda-pemuda cawangan Flat UTM, AU3, Sepakat, AU1, AU1A, AU2 dan Bukit Baru. Pertemuan kali ini agak istimewa kerana kebanyakan pemuda cawangan yang hadir adalah pemuda-pemuda yang baru dan jarang ditemui di kebanyakan program Pemuda Gombak mahupun program Pemuda Hulu Kelang sebelum ini.

(gambar) Saudara Azizul, Timb Ketua DPPG menyampaikan ucapan

Manakala pimpinan DPPG pula dihadiri oleh Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha dan Bendahari serta beberapa orang AJK lain. Setiausaha dan Timbalan Ketua Pemuda dalam ucapan masing-masing menyatakan kepentingan kekuatan pemuda cawangan digembeling sepenuhnya di samping menyeru pemuda cawangan untuk menghadiri program-program di peringkat kawasan dan DUN.

(gambar) Hadirin teruja melihat aktiviti 'perang' UKJ Hulu Kelang

Dalam sesi taaruf pula, semua AJK DPPG dan UKJ Hulu Kelang dan pemuda cawangan yang hadir dikejutkan dengan perkongsian kisah seorang pemuda cawangan yang mula terlibat dalam politik tanahair ini semasa zaman Reformasi 1998. Oleh kerana terlalu aktif pada ketika itu yang umurnya masih di bangku sekolah, beliau hampir dikenakan tindakan buang sekolah. Namun setelah berunding dengan pihak sekolah, beliau telah dikenakan hukuman minima sebat sebanyak 3 kali setiap hari selama seminggu.

(gambar) Ustaz Syarhan, Ketua DPPG menyampaikan ucapan penutup

Dan pesan akhir daripada seorang veteran pemuda AU2 setelah melihat tayangan multimedia yang disediakan urusetia, katanya "berjuang memang susah dan pahit, tapi itulah yang perlu untuk mendapatkan syurga yang manis"

(gambar) Pengalaman pemuda ini disebat selama seminggu di sekolah atas kesalahan menyokong pembangkang


Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com