Menyambut Jurucakap Rasmi Kerajaan Hamas Palestin

Friday, February 13, 2009,

Unit Amal Pemuda PAS Hulu Kelang telah bertugas dalam satu ceramah penerangan isu Palestin yang dianjurkan oleh sebuah NGO Kebajikan Muslim, Muslimcare Malaysia di Padang AU2 Taman Seri Keramat Hulu Kelang. Unit Amal telah diminta oleh penganjur program untuk membantu kelancaran program tersebut terutamanya dari aturan lalulintas, pergerakan orang ramai, tetamu jemputan serta kutipan derma sumbangan untuk Palestin.

Program ceramah ini adalah satu majlis yang penuh bermakna buat masyarakat Hulu Kelang yang menjadi tuan rumah menyambut kedatangan wakil rasmi Kerajaan Palestin yang diterajui oleh Hamas. Tetamu yang dimaksudkan ialah Dr Sami Abu Zuhri, jurucakap rasmi kerajaan Palestin dan ditemani oleh Syeikh Abu Husam. Selain itu majlis ceramah juga disertai oleh ADUN Hulu Kelang, YB Hj Saari Sungib dan Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga YDP PAS Kawasan Gombak, YB Dr Mohd Hatta Ramli.

Dr Sami Abu Zuhri telah menyampaikan ceramahnya di dalam Bahasa Arab dan telah diterjemahkan dengan penuh semangat dan fasih sekali oleh Ustaz Mohd Nazmi. Dr Sami Abu Zuhri dalam ceramahnya berkongsi semangat dan perasaan rakyat Palestin, terutamanya ibu-ibu yang telah merelakan anak-anak mereka berjuang sehingga syahid. Menurut beliau, ada ibu yang ditemui oleh Perdana Menteri Palestin, Syeikh Ismail Haniyyeh melahirkan rasa bangga kerana telah berjaya melahirkan 6 orang anaknya sebagai syuhada' fisabilillah dan seterusnya mendoakan agara Syeikh Ismail akan terus berjuang demi Islam dan Palestin. Tidak kurang juga 'dendam' dan semangat anak-anak kecil yang membara terhadap kekejaman Israel, dan semangat jihad yang ditanam di dalam diri mereka sejak kecil akan menjadikan mereka pejuang-pejuang Palestin.

Beliau turut menjelaskan bahawa pertempuran terbaru ini bukanlah satu episod akhir atau kemuncak kepada perjuangan rakyat Palestin melawan kekejaman dan keganasan Israel, bahkan ia hanyalah satu marhalah atau titik perjuangan dalam perjuangan rakyat Palestin. Sehinggalah akhirnya Allah akan memberi kemenangan kepada mereka.

Di samping itu, Muslimcare Malaysia yang baru-baru ini dalam misi bantuan kemanusiaan mereka kepada rakyat Palestin telah berjaya menembusi kawalan ketat kerajaan Mesir di sempadan Rafah dan memasuki bumi Ghazzah. Ternyata daripada rakaman foto dan video yang mereka rakam dan dipancarkan pada malam tersebut, kemusnahan dan kehancuran akibat serangan ganas Israel itu adalah jauh lebih dahsyat daripada apa yang biasa digambarkan. Bumi Ghazzah ibarat padang jarak padang tekukur dengan hampir keseluruhan binaan rebah menyembah bumi.

Sesungguhnya isu terbaru kekejaman di Palestin ini telah membuka mata masyarakat dunia seluas-luasnya. Palitan organisasi militan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Hamas sedikit demi sedikit semakin pudar. Masyarakat dunia jelas siapa sebenarnya pengganas, Israel adalah pengganas yang sebenar mengambil nyawa orang awam, warga tua, anak-anak, bayi kecil, wanita dengan sewenang-wenangnya. Sebagai orang Islam, isu Palestin bukan semata-mata isu negara Palestin, bukan juga isu warga Arab, tetapi isu Palestin adalah isu aqidah umat Islam. Rindu kita kepada Masjidil Aqsa di bumi Al-Quds yang Allah berkati semakin mendalam. Moga Allah beri kemenangan kepada Palestin dan Islam keseluruhannya. Al-Quds fi Qulubuna. Allahu Akbar!!

"Dan sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah
kamu (Muhammad) mengikut agama mereka" (Al-Baqarah:120)

Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

0 comments:

Post a Comment

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com