Menghidupkan Ramadhan dengan Program Ihya' Ramadhan

Tuesday, September 8, 2009,


Sempena 15 Ramadhan dan 17 Ramadhan lepas, para pemuda UKJ Hulu Kelang telah terlibat secara aktif dalam beberapa program Ihya' Ramadhan anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dan PAS Kawasan Gombak. Antara yang dapat dicatit di sini adalah :

1. Tahsinul Quran
UKJ Hulu Kelang telah berjaya menganjurkan satu program Tahsinul Quran iaitu program pemantapan bacaan Al-Quran buat remaja-remaja berusia 10 hingga 17 tahun di Masjid As-Sobirin pada 15 Ramadhan lalu.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu berakhir pada jam 4 petang dan majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Hulu Kelang, YB Haji Saari Sungib.

Seramai lebih 30 orang remaja lelaki dan perempuan telah menyertai program yang dikendalikan oleh Ustaz Firdaus al-Hafiz, Pensyarah Darul Quran, Kuala Kubu Baharu. Dalam program ini, para peserta telah didedahkan dengan hukum-hakam bacaan tajwid dan seterusnya memeriksa bacaan dengan para fasilitator di kalangan pelajar jurusan tahfiz Al-Quran.

Secara keseluruhannya, program ini mempunyai manfaat yang besar kepada para peserta khususnya para remaja supaya bacaan Al-Quran mereka dapat diperbetul dan seterusnya dimantapkan. Siri-siri seterusnya akan dilaksanakan pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai lagi para remaja menyertai program seumpama ini.

Ustaz Firdaus Al-Hafiz sedang menerangkan sesuatu kepada para peserta

Sebahagian para peserta lelaki

Meja urusetia yang 'ditinggalkan sebentar' oleh UKJ Hulu Kelang (pergi ke Karnival Tamadun Islam - program Muslimat Hulu Kelang)


2. Edaran Bubur Lambuk
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang telah terlibat sama dengan Dewan Pemuda PAS Gombak dan PAS Kawasan Gombak dalam satu program memasak dan mengedar bubur lambuk di hadapan Pejabat PAS Kawasan Gombak semalam.

Sempena dengan Cuti Umum Nuzul Quran, program ini telah dimulakan dari pagi dan bubur lambuk sebanyak 2 periuk besar selesai dimasak pada waktu Zohor. Selepas itu kerja-kerja membungkus bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai dan juga PAS cawangan-cawangan dalam kawasan Gombak.

Penglibatan UKJ Hulu Kelang dalam program ini adalah bagi memberi ruang kepada ahli UKJ menghidupkan Ramadhan sempena cuti umum tersebut dengan menyertai program yang dianjurkan serta berinteraksi dengan masyarakat melalui program agihan bubur lambuk terbabit.

Selesai mengedar bubur lambuk, ahli UKJ Hulu Kelang terus bergegas ke Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat untuk mendengar taujihat dan ceramah berkenaan Nuzul Quran dan Badar Al-Kubra yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin Nasir, YDP PAS Kawasan Gombak.

Ahli UKJ Hulu Kelang terlibat membungkus bubur lambuk

Bubur lambuk Sumbangan Ikhlas PAS Kawasan Gombak

Kelihatan Ketua DPPG, Ustaz Syarhan dan Ketua UKJ Hulu Kelang, Sdr Habib mengedar bubur lambuk




Lajnah Penerangan, Informasi & Komunikasi
Unit Kerja Jemaah (UKJ) Hulu Kelang

0 comments:

Post a Comment

Hubungi kami di:
Pemuda PAS Hulu Kelang
No 302 Jalan Permata 6, Taman Permata, Hulu Kelang 53300 Kuala Lumpur
pkkmhk@gmail.com